KAMBING

PREVIOUS : : HOME : : NEXT

SLIDE PRESENTATION

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Malaysia masih mengimport sebanyak 94% daging & haiwan ternakan untuk memenuhi permintaan tempatan. Bilangan ternakan kambing di Malaysia pula didapati telah meningkat dari 284,257 (1990) kepada 293,871 (2007) namun Malaysia masih bergantung kepada hasilan import sebanyak 42,704 ekor (2003) dan 10,707.00 M.Tan (2003). Jumlah nilai import untuk ternakan hidup mencecah RM12.12 juta untuk tahun 2003, manakala untuk import daging kambing pula mencecah RM88.99 juta juga pada tahun yang sama. Berdasarkan statistik, penternakan kambing merupakan satu bidang yang berpotensi besar untuk dikomersialkan.
(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia)

Kambing Kacukan
Baka-baka kambing yang boleh digunakan untuk keluaran daging biasanya mempunyai badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu. Kambing-kambing jenis ini juga tidak begitu besar seperti baka-baka kambing susu. Di antara baka-baka daging yang boleh digunakan untuk pemeliharaan:



Industri ternakan kambing di Malaysia bertujuan untuk menghasilkan susu dan daging. Baka-baka kambing yang dapat mengeluarkan susu dan daging yang baik diimport dari luar negeri seperti Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian dan Toggenburg, untuk disilangbiakkan dengan baka tempatan. Hasilnya kita memperolehi anak kambing yang cepat membesar, tahan pada cuaca dan banyak mengeluarkan susu.

Susu Kambing

Susu kambing merupakan makanan semulajadi hampir kepada makanan sempurna yang berkhasiat dan penuh dengan kesegaran. Kandungan kalsium dan vitamin yang tinggi dan kurang laktosa berbanding susu ternakan domestik yang lain. Struktur kimianya adalah bersamaan dengan susu ibu.

  • Susu kambing asli dari baka Jamnapari.
  • Tanpa bahan pengawet dan segar dari ladang.
  • Telah menjalani proses pempasteuran dan homogenasi.
  • Diproses menggunakan teknologi pemprosesan susu terkini.
  • Mudah dihadam kerana globul lemaknya lebih kecil.
  • Kaya dengan protein, enzim dan vitamin A.
  • Dipercayai mengandungi faktor anti-antritis (inflamasi sendi) dan anti barah
  • Diperakui oleh pakar-pakar kesihatan bahawa susu kambing mampu mengubati :
    - Demam Kuning
    - Eczema (Penyakit Kulit)
    - Gastrik
    - Athma (Lelah)
    - Insomnia
    - Ulcer
    - Hepatitis A
    - Menambahkan selera makan (kanak-kanak)
    - Blue Babies (Kecacatan Jantung Bayi)
    - Sakit Jantung (peringkat awal)
    - Penyakit Buah Pinggang
    - Memulihkan tenaga batin
    - Perawatan kulit (Ultraviolet)
    - Mudah dihadam kerana globul lemaknya lebih kecil

Rajah Morfologi Seekor Kambing Betina

Pemeliharaan untuk Tujuan Pengeluaran Kambing
Pengeluaran daging dari penternakan kambing meliputi dua bahagian aktiviti. Penternak boleh menjalankan mana-mana satu bahagian aktiviti ini ataupun kedua-dua sekali.

Membiak
Memelihara kambing baka dan mendapatkan anak untuk dipelihara, digemuk dan dijual untuk pengeluaran daging

Penggemukan (Fattening)
Memelihara anak-anak kambing terutamanya jantan dari 6 bulan hingga setahun atau setahun setengah dengan berat badan sekurang-kurangnya 25 kg sebelum dijual untuk sembelihan.

Cara Pemeliharaan
Pemilihan Kawasan
Pemilihan kawasan untuk menjalankan pemeliharaan adalah penting. Kawasan-kawasan yang dipilih sepatutnya:-

  • Mempunyai tempat teduh dan redup seperti pokok-pokok besar dan juga pokok yang boleh dijadikan pemecah angin.
  • Kawasan tanah yang tinggi dan dataran serta mempunyai sistem pengaliran air dan udara yang baik.
  • Jauh dari jalan raya yang sibuk.

Sistem Pengurusan
Di antara sistem pengurusan pemeliharaan kambing adalah:

- Sistem Berkurung (intensif)
Sistem ini memerlukan perumahan yang sempurna, kerana kambing tidak dilepaskan meragut. Makanan dan minuman terpaksalah dibawa kepada mereka setiap hari iaitu konsentrat, rumput dan garam jilat. Kebiasaannya, sistem pemeliharaan begini diamalkan oleh penternak-penternak yang tidak mempunyai kawasan ragut atau untuk ibu-ibu kambing yang akan beranak dan selepas beranak dan juga bagi kambing jantan baka. Oleh kerana kambing tidak dilepas langsung, kemungkinan jangkitan penyakit adalah tinggi. Oleh itu, kandang hendaklah sentiasa bersih dan kering. Selain daripada itu, kambing senang diawasi untuk tujuan rawatan dan pengesanan penyakit.


- Sistem Separuh Berkurung (Semi-intensif)
Pemeliharaan kambing secara sistem ini dilakukan dengan melepaskan kambing pada siang hari dan dikurung di dalam kandang pada waktu malam. Sistem ini mempunyai faedah di mana selain daripada perlindungan pada malam hari dan dari cuaca yang buruk, ianya juga memberi kebebasan untuk meragut rumput dan herba-herba yang lebih baik. Cara ini juga memberi kesempatan kepada anak kambing untuk bersenam dan mendapatkan cahaya matahari yang secukupnya. Pemeriksaan terhadap penyakit boleh dijalankan apabila kambing-kambing ini masuk ke kandang pada petang hari.


- Sistem Ragut Lepas
Sistem ragut lepas ini boleh dijalankan jika terdapat kawasan ragutan yang luas. Kambing-kambing ini tidak disimpan di dalam kandang tetapi dibiarkan meragut sepanjang masa. Walaupun menternak cara begini tidak memakan belanja yang banyak untuk membuat kandang dan sebagainya, ianya tidak digalakkan. Ini adalah kerana kambing ini boleh merayau dan merosakkan tanaman jiran. Di samping itu juga, pengawasan terhadap ternakan juga adalah rumit kerana tuan empunya tidak dapat melihat ternakannya setiap masa.


PANDUAN PERUMAHAN
Perumahan adalah perlu untuk pemeliharaan kambing di Malaysia. Ini adalah kerana keadaan cuaca melampau seperti hujan dan panas terik menyebab kambing-kambing perlukan perlindungan.
Kedudukan rumah/kandang-kandang ini boleh dibuat supaya:-

Mengurangkan keperluan bergerak terutama dalam memberi makanan. Contohnya, kawasan ragut /sumber makanan (stor) mestilah dekat dengan kandang jika boleh.

Jika hendak membina lebih dari satu kandang, jarak di antara dua kandang hendaklah sekurang-kurangnya sama dengan lebar kandang tersebut. Ini adalah untuk menjauhkan jangkitan penyakit.

Apabila membina kandang keperluan-keperluan yang penting untuk menentukan kesihatan dan kesejahteraan kambing-kambing adalah:
· Sistem pengudaraan yang baik bagi menyejukan udara di dalam kandang
· Membenarkan cahaya matahari yang cukup untuk masuk ke dalam kandang terutama matahari pagi. Kedudukan kandang arah Utara-Selatan
· Tidak mudah menjadi lembab. Sistem perparitan yang baik di sekeliling kandang
· Tidak terkena angin yang kencang
· Terpelihara dari hujan dan panas
· Kotoran/najis dapat dikumpulkan dan diangkut keluar
· Ruang makan dan minum mencukupi
· Lantai adalah sesuai dan tidak membahayakan ternakan, seperti terseliuh atau patah tulang


PEMBINAAN KANDANG

Kandang boleh dibuat di atas tanah ataupun secara berlantai. Pembinaan kandang yang berlantai tinggi dari tanah adalah disyorkan kerana mempunyai sistem pengedaran udara yang baik dan juga senang dicuci.

Lantai

Di dalam pembinaan kandang, lantai yang dibuat hendaklah:
- tahan lama - misalnya tahan dari semburan bahan kimia dan air kencing
- mudah dicuci
- tidak licin
- tidak mencederakan
- tidak mudah lembab
· Lantai hendaklah dibuat dari bahan yang sesuai seperti beroti yang berukuran 1.5s.m. (tebal) dan 3.5 s.m. (Lebar), buluh atau batang pinang yang dibelah, anak-anak kayu dan juga papan biasa. Supaya kencing dan najis senang jatuh ke bawah, kayu atau papan lantai diatur dengan jarak 1.2 - 1.8 s.m. tiap-tiap satu. (Jika terlampau luas berkemungkinan kaki anak kambing akan tersepit).
· Luas kawasan lantai untuk satu ekor kambing dewasa ialah di antara 0.7 - 1.4 meter persegi (8 - 15 kaki persegi)


Dinding


· Dinding hendaklah dibuat dari bahan yang tahan lasak. Ini adalah kerana kambing mempunyai tabiat suka menanduk, menggigit dan menggeser dinding. Bahan-bahan yang boleh digunakan ialah buluh, kayu bulat (kayu hutan) dan papan.
· Dinding boleh dibah agikan kepada dua bahagian:
§ Dari lantai sehingga kira-kira 1 m ke atas boleh dibuat daripada papan, dengan jarak yang lebih rapat antara 1.5 - 2.0 s.m. yang memerlukan ruang yang agak tertutup untuk mengelakkan kesejukan.
§ Di atasnya boleh digunakan kayu beroti, buluh atau nipah dan anak-anak kayu. Jaraknya di antara satu dengan yang lain 9 - 12 s.m.
Bumbung
Bahan-bahan yang boleh dibuat bumbung termasuklah:
· Nipah - bagus untuk sistem pengedaran udara dan lebih menyejukkan. (Pada umumnya terdapat kejadian kambing memakan serpihan nipah).
· Zink - mudah dipasang tetapi boleh menyebabkan suhu kandang terlalu panas, terutamanya jika tidak ada pokok-pokok pelindung sekitarnya. Jika menggunakan atap zink, ruang di antara lantai dan bumbung hendaklah ditinggikan untuk pengedaran udara yang baik.
· Asbestos - bahan yang paling baik untuk dijadikan bumbung tetapi ianya mahal sedikit. Ia tidak saja menyejukkan tetapi juga tidak mudah terbakar.
· Aluminium - dapat mengurangkan kesan haba tetapi harga agak mahal.

Palung Makanan


Palung makanan boleh dibuat sama ada di bahagian luar ataupun bahagian dalam iaitu di sepanjang jalan tengah. Lebar palung bahagian bawah ialah 0.3 m dan 0.45 m di bahagian atas. Bagi kandang yang tiada palung makanan, rumput boleh diikat atau digantung di tengah-tengah kandang kira-kira 0.5 m dari paras lantai. Bekas abuk (konsentrat) boleh dibina di bawah palung rumput atau di mana-mana tempat di dalam kandang atau diisi di dalam besen. Air yang cukup dan bersih hendaklah disediakan di dalam baldi atau besen.



PENGURUSAN

Pengurusan Ternakan
Pengurusan kambing adalah bermula dari kelahiran sehinggalah sampai ianya bunting dan beranak kembali. Pada amnya pengurusan boleh dibahagikan kepada peringkat-peringkat seperti berikut:
Lahir hingga cerai susu (3 atau 4 bulan)
Cerai susu hingga bunting
Pengurusan kambing dewasa
Pengurusan kambing bunting hingga kelahiran
Pengurusan baka-baka jantan
Pengurusan semasa penggemukan untuk dijual


Lahir hingga 3 bulan
· Anak-anak kambing hendaklah diberi susu permulaan atau kolostrum dalam masa 6 jam selepas dilahirkan. Susu awal ini dikeluarkan oleh ibunya untuk beberapa hari selepas beranak. Kebiasaanya anak-anak kambing ini dapat menghisap susu dengan sendiri. Jika gagal, susu awal ini hendaklah diperah dan diberikan melalui botol susu kepada anak-anak kambing. Pengambilan susu awal ini adalah penting kerana ianya mengandungi banyak zat-zat dan paling penting ialah antibodi yang boleh menolong anak-anak kambing ini melawan penyakit. Susu julung juga membantu merangsang sistem cernaan supaya bekerja dengan sempurna.
Purata kandungan kolostrum berbanding dengan susu biasa:


Pusat anak-anak kambing hendaklah disapu dengan 'iodine' supaya cepat kering, selain dari itu ia juga boleh menghindar dari jangkitan kuman. Jika basah ianya membiak kuman dan anak-anak kambing senang dijangkiti penyakit.

· Anak-anak kambing bergantung kepada susu ibu selama 3 hingga 4 bulan. Selepas 2 bulan atau lebih pengambilan susu akan berkurangan dan anak kambing mula meragut sedikit-sedikit. Selepas 3 atau 4 bulan, anank-anak kambing boleh dicerai susu dan di mana ianya akan memakan rumput sepenuhnya.

· Penceraian susu hendaklah dibuat secara beransur-ansur, bilamana makanan tambahan, rumput dan juga susu di peringat peralihan diberi. Selepas lahir anak-anak dan ibu tidaklah dibiarkan meragut. Selepas 4 atau 6 minggu mereka bolehlah dilepas meragut di kawasan berdekatan supaya pengawasan senang dijalankan.
Kandang tempat menempatkan ibu yang beranak dan anak yang baru lahir hendaklah sentiasa kering dan bersih. Tempat yang lembab boleh membawa kesejukan. Anak-anak kambing adalah peka terhadap kesejukan dan mudah terkena demam paru-paru.
Jika tidak dapat memberi susu awal, satu campuran susu dengan sedikit minyak sayur dan putih telur boleh digunakan untuk merangsang pergerakan usus.

Anak-anak kambing ini bolehlah diberi susu dari ibu yang lain dengan memerah dan menyusu melalui botol atau terus dari ambing jika ianya mahu. Susu tepung juga boleh dibancuh dan diberikan. Susu lembu yang dicampurkan dengan 1 - 2 titik minyak ikan setiap kali hendak menyusu. Susu bolehlah diberi sebanyak 170 gm (lebih kurang 1 cawan teh) setiap 4 jam sekali. Jumlah ini bolehlah ditingkatkan mengikut umur.

Selepas Cerai Susu Hingga Dewasa
Selepas cerai susu dalam lingkungan 3 - 4 bulan, anak-anak dipisahkan dari ibu. Mereka diasingkan ke kandang dan tempat ragutan yang berlainan. Dalam masa itu urusan pemakanan hendaklah dijaga baik-baik kerana berat badan biasanya mudah turun. Ini adalah kerana tekanan (stress) akibat perceraian dari ibu dan juga susu.
Kumpulan anak-anak jantan eloklah diasingkan daripada betina, ini adalah kerena apabila meningkat umur 9 bulan anak-anak kambing ini sudah sampai umur untuk membiak. Anak-anak yang tidak mahu dijadikan baka bolehlah dijual.

Pengurusan Kambing Dewasa
Penjagaan terhadap kambing-kambing dewasa adalah sama dengan anak dari 4 bulan hingga 1 tahun.

Ibu Bunting dan Selepas Kelahiran
Ibu-ibu yang telah bunting dan baru melahirkan anak hendaklah diasingkan untuk menjauhkan anak-anak dari terpijak oleh yang dewasa. Ini juga boleh menyenangkan program pengurusan. Ibu-ibu bunting memerlukan pengurusan rapi sebulan atau 2 minggu sebelum dan selepas beranak, makanan yang bermutu dan lebih hendaklah diberikan kepada mereka. Ini adalah untuk menentukan kesihatan ibu dan anak-anak. Guni yang bersih boleh digunakan untuk mengalas bahagian lantai atau dinding untuk melindungi anak dari kesejukan.

Baka Jantan

· Baka-baka jantan biasanya dikandangkan berasingan daripada yang betina. Mereka dicampurkan hanya bila hendak dibiakkan. Setiap ekor kambing jantan baka biasanya disimpan dalam kandang berasingan supaya pergaduhan dan kecederaan dapat dielakkan.
Setiap ekor jantan bolehlah digunakan untuk 20 ekor betina.
· Anak-anak jantan untuk dijadikan baka hendaklah dijaga dengan baik dari segi makanan dan juga kesihatan. Ternakan ini memerlukan banyak senaman dan pergerakan. Jika ini tidak mencukupi ianya boleh menjadi malas dan tidak cergas. Ternakan berkenaan hendaklah mempunyai kaki yang baik dan juga kuku hendaklah sentiasa dipotong supaya ianya tidak mengganggu semasa mengawan dan menjejas kesihatan
· Anak-anak jantan boleh mengawan dan membiak dalam lingkungan umur 9 bulan, tetapi dinasihatkan tidak digunakan sebelum umur setahun.

Pengurusan Penggemukan


Jika kambing-kambing dipelihara hanya untuk digemukkan dan dijual untuk daging, penjagaan kambing-kambing ini adalah mudah.
Faktor penting di dalam pemeliharaan cara begini adalah makanan. Makanan yang hendak diberi mestilah yang mempunyai zat yang tinggi dan baik.
Anak-anak kambing boleh digunakan untuk penggemukan apabila umur telah meningkat enam bulan. Ia memerlukan masa di antara enam bulan hingga setahun di mana berat badan mencapai 20 - 25 kg. Ini bergantung kepada jenis makanan dan keupayaan kenaikan berat badan kambing tersebut. Dalam masa satu atau dua bulan sebelum dijual, adalah lebih baik jika diberikan makanan berkualiti dan mempunyai nilaian protein yang tinggi.


Pengurusan Kambing Sakit/Cedera

Kambing yang sakit atau cedera perlu diasingkan dari kumpulannya dan untuk mendapatkan rawatan atau nasihat selanjutnya.

Pengurusan Am
Pengurusan Am merupakan satu aspek yang perlu diutamakan juga, ia meliputi pengurusan:

  • Kawasan
  • Buruh
  • Jadual Pengurusan
  • Pengenalan Ternakan
  • Pengasian
  • Mematikan Tanduk
  • Memotong Kuku
  • Menggunting Bulu
  • Kawalan Kutu

Kawasan
Kebersihan kawasan kandang dan persekitaran perlu diutamakan setiap masa. Perparitan atau longkang di sekeliling kandang dan kawasan mesti berfungsi dengan sempura. Najis yang dibuang atau dikumpulkan jangan terlalu dekat dengan kandang. Kawasan pastura untuk ragutan atau potong perlu dipagari dengan kukuh. Dengan ini memudahkan pengurusan meragut dan mengelakkan percampuran yang menyebabkan perkahwinan tidak diingini.

Buruh

Buruh samada yang diupah atau sendiri mestilah diuruskan supaya kerja-kerja lebih teratur dan mudah. Sebagai contohnya sementara menunggu kambing dilepaskan meragut, bersihkan dahulu palung makanan dan memotong rumput. Apabila kambing dilepaskan sahaja, kandang pula perlu dibersihkan. Begitulah seterusnya kerja-kerja lain haruslah diuruskan secara teratur.


Jadual Pengurusan

Penyelarasan bagi kerja-kerja jangkamasa panjang dan tugas harian perlu diatur dari semasa ke semasa. Jadual pengurusan untuk jangka masa panjang seperti mengkacuk, beranak, mematikan tanduk, mengkasi, memotong kuku, kawalan kutu dan pemberian ubat cacing perlu diatur dengan sistematik. Jadual lain seperti jangkamasa meragut di sesuatu petak, membaja, meracun rumpai mestilah diatur agar pembahagian jentera, buruh dan alat-alat lain dapat dibuat dengan tertib.


Pengenalan

Sekeping kad rekod ternakan perlu disediakan apabila sahaja seekor anak dilahirkan. Penandaan boleh dibuat samada dengan memasang tag plastik ataupun ditattoo di telinganya supaya mudah untuk pengenalan.

Pengasian

Pengasian anak kambing jantan yang tidak dijadikan baka boleh dibuat pada umur 4 - 5 minggu. Proses ini dapat mempercepatkan kadar tumbesaran, paling sesuai jika digemukkan untuk penjualan, juga dapat mempertinggikan kecekapan pengurusan pembiakbaik.

Mematikan Tanduk
Pertumbuhan asas tanduk perlu dimatikan di peringkat anak untuk mengurangkan kecederaan antara sesamanya, disebabkan perkelahian atau kemalangan. Untuk tanduk yang telah tumbuh, ianya perlu dipotong.

Memotong Kuku

Kambing yang tidak dilepaskan keluar dalam jangkamasa yang panjang menyebabkan kukunya menjadi panjang. Ini akan menyusahkan ia berjalan dan menyebabkan jangkitan penyakit kalau tidak dibersihkan. Maka itu, kukunya perlu dipotong dan dibersihkan dari kotoran


Menggunting Bulu

Kambing kacukan terutamanya mempunyai bulu yang agak panjang perlulah dibersihkan. Bulu yang kotor menjadi sumber penyakit dan tempat pembiakan kutu. Bulu di sekitar tetek perlu digunting untuk memudahkan pemerahan juga mengelakkan bulu bercampur dengan susu. Gunakan gunting elektrik atau tangan untuk tujuan ini.

Kawalan Kutu

Masalah kutu tidak akan selesai bagi kambing dalam kelompok yang besar dan bercampur antara sesamanya. Kambing diberikan samada semburan ubat kutu atau dimandikan di dalam kolam mandi kutu, bagi membunuh kutu yang bersarang pada badan kambing.


CARA PEMBIAKAN
Kaedah

I. Pembiakan boleh diadakan dengan dua cara iaitu:
· membiak dengan menggunakan baka jantan
· membiak melalui permanian beradas


Di antara kebaikan yang boleh didapati melalui permanian beradas adalah:
· dapat mengawal penyakit kelamin pada ternakan
· kegunaan sepenuhnya baka-baka terpilih
· air mani dari baka yang baik boleh disimpan dan digunakan walupun baka tersebut telah mati
· mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung dalam pemeliharaan baka-baka jantan


II. Disamping kebaikan dalam menjalankan pembiakan melalui permanian beradas, kesulitan yang mungkin timbul adalah:
· penentuan biang dan waktu permanian
· menentukan teknik-teknik semasa menyuntik air mani adalah betul
· boleh menyebabkan kerosakan pada alat peranakan jika teknik dilakukan tidak betul atau kasar
Buat masa ini pembiakan dengan menggunakan baka adalah disyorkan kerana permanian beradas bagi ternakan kambing masih belum digunakan secara meluas

Umur dan Berat Badan Untuk Mula Membiak
Kambing akan mula membiak apabila mencapai umur sembilan bulan. Namun begitu, pada umur ini, perkahwinan adalah tidak disyorkan kerana terlalu muda. Besar kemungkinan ianya tidak akan menghasilkan anak yang baik. Anak-anaknya nanti kebiasaannya kecil dan bantut. Umur yang biasa digunakan untuk membiak adalah di dalam lingkungan 1 tahun - 1 1/2 tahun di mana berat badan adalah di dalam lingkungan 20 - 25 kg. Pemberian makanan mempengaruhi tahap umur kematangan.

Pengenalan Berahi
Berahi menunjukkan betina sudah matang dan boleh dikahwinkan. Tanda-tanda berahi:
· tidak tenang (gelisah)
· mengibas-ngibaskan ekor dan menggosok-gosok badan ke kandang
· mengembek terus menerus
· sering kencing
· kemaluan membengkak/keluar lendir kemerahan
Lama masa berahi 12 - 48 jam dengan siklus (edaran) berahi 18 - 24 hari, puratanya 20 hari.

Lilitan Dada Bagi Mentaksir Berat Kambing
Kadang-kadang kita terpaksa menganggarkan berat badan kambing misalnya jika hendak memberi ubat cacing, sukatan antibiotik yang perlu digunakan ataupun untuk mengetahui kambing itu telah boleh dikahwinkan atau tidak.
Salah satu cara bagi mengetahui berat badan kambing ialah dengan mengukur lilitan dada dengan menggunakan tali tape. Jadual di bawah boleh digunakan bagi mendapatkan berat kambing tersebut:-


Jangka Masa Bunting
Tempoh kebuntingan kambing adalah selama antara 145 - 155 hari atau puratanya 151 hari. Mengikut perkiraan kasar, tarikh kelahiran anak-anak kambing dapat ditentukan dengan menggunakan carta di bawah ini:

Carta ini dibuat berdasarkan waktu bunting selama 150 hari (purata).


Jarak Kelahiran

Jarak kelahiran yang biasa didapati pada kambing-kambing di Malaysia adalah selama di antara 207 - 259 hari. Dengan kadar kelahiran kembar sebanyak 50% adalah dijangka purata anak yang boleh diperolehi dalam setahun ialah 1.3 atau 1.5 ekor untuk seekor ibu.

Makanan dan Minuman

Ternakan yang sihat memerlukan pemakanan yang seimbang dan mencukupi setiap masa. Di antara makanan yang penting ialah:

Kesihatan dan Penyakit

Kambing yang sihat kelihatan:
Cergas, berselera maka, suka berkumpulan, bulu berkilat, kulit licin, tahi keras dan badan berisi
Kambing berpenyakit nampak monyok, tak lalu makan, mengasingkan diri, sering mengembek, bulu kering dan meremang, tahi ceret serta badan kurus
Antara penyakit yang biasa menyerang kambing ialah: