LIMAU NIPIS

SLIDE PRESENTATION


Limau nipis atau nama saintifiknya Citrus Aurantifolio dari keluarga Rutaceace, tergolong dalam buah-buahan sitrus yang banyak tumbuh di Selatan Florida dan juga kawasan tropika lain. Limau nipis juga dikenali sebagai Mexican atau Citrus Aurantifolia dan Persian atau limau Tahiti (Citrus x Tahiti). Di negara kita limau nipis sering dijadikan sebagai bahan pencuci, perubatan, perisa tambahan minuman dan makanan. Limau nipis (lime) adalah varieti yang lebih berasid sesuai dengan iklim tropika seperti Malaysia. Kebanyakan sitrus yang ditanam di Malaysia mempunyai kulit berwarna hijau apabila masak Aspek penting tentang sitrus ialah keharumannya yang terdapat di daun, bunga dan buah. Daun sitrus mengandungi minyak sitrus dan menghasilkan haruman limau apabila dihancurkan atau diperah.


PENGURUSAN
Pengurusan bagi penanaman limau nipis terbahagi kepada dua iaitu pengurusan tanaman dan pengurusan am.

Pengurusan Tanaman

Pemilihan tapak
Pokok Limau Nipis boleh ditanam di pelbagai jenis tanah yang mempunyai pengairan yang mencukupi. Namun begitu elakkan penanaman pada lapisan tanah liat kedap atau tanah keras di atas permukaan. Hal ini kerana tanah liat boleh menyebabkan air bertakung. Takungan air yang lama di bawah tanah boleh menyebabkan masalah pereputan pada bahagian pangkal akar dan merosak akar pokok limau nipis. Tanah yang paling sesuai untuk penanaman mempunyai nilai pH antara 5.5 hingga 7.0 kerana adanya nutrien yang penting untuk pertumbuhan. Manakala suhu pertumbuhan yang sesuai ialah 20 hingga 32 o C.

Cara penanaman
Kaedah pengklonan yang digunakan untuk penanaman pokok limau nipis ialah tut (marcot) dimana menggunakan klon limau nipis yang mempunyai kod genetik yang sama dengan pokok induknya. Tanah yang digunakan untuk tujuan penanaman dicampur dengan baja organik (tahi kambing) terlebih dahulu untuk pemulihan tanah secara biokimia.

Pembungaan
Putik bunga besar dan putih atau keunguan. Bunga harum kira-kira 4 cm lebar dan dijumpai dalam kelompok yang kecil. Bunga mempunyai 4 hingga 5 petal kemerahan samar dan keunguan dengan 30 hingga 60 stamen.

Pembajaan
Hanya baja organik yang digunakan untuk tanaman ini. Hal ini kerana pokok limau nipis amat sensitif dengan bahan kimia. Antara baja organik yang digunakan ialah tinja kambing, sisa beg media cendawan dan bokashi. Selain befungsi sebagai baja, tinja kambing turut berfungsi sebagai pemulih nutrien tanah secara biokimia.

Penyiraman
Penyiraman kerap hanya dilakukan pada peringkat awal penanaman pokok limau nipis kerana pada peringkat tersebut akar anak pokok limau masih belum mampu mencari punca air.

Merumput
Pengawalan rumpai menggunakan racun rumpai tidak digalakkan kerana boleh merosakkan pokok terutamanya ketika musim hujan. Oleh itu merumput dilaksanakan secara manual. Rumpai dari jenis tumbuhan semusim perlulah dibuang sebelum tumbuhan tersebut mengeluarkan biji benih. Pokok Limau Nipis mempunyai sistem akar yang cetek dan mudah binasa. Oleh itu, tanah di bawah pokok ini tidak boleh digemburkan.

Pemulihan
Penyemburan EM (Effective Microorganism) pada keseluruhan pokok limau nipis bertujuan mengurangkan masalah fungus hitam pada daun dan buah limau nipis. Selain itu, penggunaan bokashi dan tinja kambing berfungsi sebagai pemulih tanah secara biokimia. Tiada sebarang penggunaan bahan kimia kerana pokok limau nipis sangat sensitif pada bahan kimia.

Pengurusan Am

Tenaga Pekerja
Tenaga pekerja amat penting untuk kerja-kerja penanaman dan penjagaan pokok limau nipis berikutan semua aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan secara manual. Hal ini bertujuan mengelak sebarang kecederaan dan kerosakan pada pokok limau nipis sekiranya kerja-kerja pengurusan tanaman dijalankan secara mekanikal dan menggunakan bahan-bahan kimia. Antara aktiviti-aktiviti yang melibatkan tenaga pekerja ialah menanam benih limau nipis, melakukan pengklonan benih (tut), mencantas pokok, menyiram, membaja, merumput dan mengutip hasil.

Teknologi
Teknologi yang digunakan ialah Effective Microorganism (EM) yang dicampurkan dalam air untuk tujuan semburan pada keseluruhan pokok limau nipis. Selain itu, teknologi EM turut diaplikasikan pada Bokashi yang berfungsi sebagai baja kepada pokok limau nipis. Tinja kambing juga digunakan sebagai baja dan pemulihan tanah secara biokimia.